KUCHING: Setiap kali Ramadan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Lajim, Kampung No.5 di sini, menganjurkan program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Sarawak 2025 di kampung tersebut, di sini hari ini.
Program tersebut dimulakan dengan acara memasak bubur lambuk seawal jam 9 pagi secara bergotong-royong oleh ahli KRT kampung dan penduduk sekitar.
Menurut Pengerusi KRT Kampung No.5, Ishak Bujang, pihaknya menyediakan 20 kilogram (kg) beras dan lebih 11 kg tulang dan daging segar selain santan untuk menghasilkan 800-1,000 pek bubur lambuk.
“Bubur lambuk itu diagih kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan dan orang ramai di sekitar kampung dan kawasan ,” katanya dalam majlis ringkas Program Gerak Rahman sempena Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Sarawak 2025.
Turut diagihkan beras lima kg sumbangan Pertubuhan Kebajikan Bencana Kuching (PKBK), keperluan memasak Adabi serta acar buah limau sumbangan Ketua Kaum (KK) Kampung No.5, Salbiah Muhi.
Program itu dianjurkan bersama Kementerian Perpaduan Negara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, KRT Sungai Lajim Kampung No.5 dan PKBK.
Hadir sama, Penghulu Kampung No.5 dan No.6, Mustapha Wahab, KK Kampung No.5, Salbiah Muhi, Pengerusi PKBK, Shamsuri Ipoh dan KK Kampung Semariang Fasa Tiga, Dahlan Jerani.
