Peranan, fungsi Ombudsman Sarawak diperluas

KUCHING: Ombudsman Sarawak mengadakan sesi perjumpaan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Riverside Majestic Hotel di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media SFC, sesi itu yang turut dihadiri pengurusan tertinggi SFC dan pegawai pengurusan Ombudsman merupakan langkah proaktif Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff.

Ini dalam memperkenal dan menyebarluas peranan dan fungsi Ombudsman Sarawak kepada semua agensi perkhidmatan awam negeri melalui taklimat Sarawak Ombudsman Ordinance, 2023.

Dalam sesi itu juga, Timbalan Pengurus Besar SFC, Japanie Bujang menyampaikan taklimat korporat selain menerangkan pelan tindakan dalam pelaksanaan ordinan yang berada di bawah bidang kuasa mereka.

“Selain itu, perjumpaan ini juga untuk mendapatkan penerangan terkini berhubung Pengurusan Industri Sarang Burung Walit di Sarawak,” menurut SFC.

Taklimat itu disampaikan Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Perlindungan SFC, Madhan Kiflie.

“SFC turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama kepada Ketua Ombudsman Sarawak sekiranya diperlukan pada masa akan datang,” tambah SFC