KUCHING: Ketua jabatan dan agensi di bawah perkhidmatan awam Sarawak digesa memantau rapi pelaksanaan projek Kerajaan Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, mereka mesti memantau setiap projek secara berkala dan teliti dari aspek kemajuan fizikal dan kewangan supaya disiap mengikut tempoh ditetapkan.
“Kita tidak harus berkompromi terhadap sebarang kelewatan, ketidakpatuhan atau ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Bulanan Bagi Bulan Mac 2025 di sini, hari ini.
Mohamad Abu Bakar berkata, jika terdapat şebarang isu atau halangan yang boleh menjejaskan perjalanan projek, mereka perlu mengambil tindakan segera
bagi mengelakkan masalah lebih besar pada masa hadapan.
Selain itu, beliau menegaskan setiap teguran pihak audit juga mesti diberi perhatian serius dan ketua jabatan perlu memastikan semua teguran dan cadangan penambahbaikan daripada laporan audit dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh mengambil ringan teguran Audit kerana ia mencerminkan tahap ketelusan dan akauntabiliti sesebuah organisasi,” tambahnya.
