Pembinaan Wisma Melayu Sarawak capai 85 peratus siap

KUCHING: Wisma Melayu Sarawak yang masih dalam pembinaan dijangka belum dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya
 Melayu Sarawak (AKYBMS), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan wisma tersebut yang menampilkan reka bentuk unik tengkolok kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 85 peratus.

“Saya mahu wisma ini disiapkan dalam masa terdekat agar boleh digunakan pada sambutan Hari Raya kelak, termasuk untuk majlis rumah terbuka, namun beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Awang Tengah berkata, ini termasuk kerja pemasangan pencawang dan perabot selain sambungan bekalan elektrik dan air yang masih belum selesai dan tertunggak.

“Justeru, saya telah mengarahkan pihak berkenaan untuk mempercepatkan kerja-kerja yang tertunggak ini agar wisma kebanggaan masyarakat Melayu ini dapat digunakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek terbabit di Jalan Diplomatik, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerja-kerja pembinaan landskap yang telah bermula di sekitar kawasan wisma terbabit perlu ditambah baik untuk persekitaran lebih indah dan bersesuaian konsep bangunan.

“Jalan di hadapan dan belakang bangunan juga memerlukan penambahbaikan dan penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menentukan aras sesuai bagi dihubungkan dengan jalan utama,” jelasnya.

Beliau sehubungan itu sudah meminta semua pihak terlibat termasuk konsultan, kontraktor dan pengurus projek untuk mempercepatkan penyelesaian kerja terbabit dan memastikan wisma terbabit dapat digunakan mengikut perancangan terkini.

Katanya, wisma yang dibina di kawasan seluas lapan ekar itu bakal menjadi pusat kebudayaan dan kemasyarakatan penting bagi penduduk tempatan susulan lokasi yang strategik dan mudah diakses oleh orang ramai.