Transformasi pertanian rangsang ekonomi Sarawak

KUCHING: Transformasi pertanian dengan menjadikannya sebagai perusahaan perniagaan penting untuk merangsang ekonomi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sektor pertanian menyumbang kira-kira RM15 bilion atau 10.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak pada 2023.

Menyifatkan pertanian sebagai intervensi, beliau berkata sektor itu boleh dibangunkan menjadi komuniti komersial.

“Oleh itu, kita perlu meningkatkan konsep pertanian sebagai perusahaan perniagaan. Apabila dianggap sebagai perusahaan perniagaan, semua aspek ekonomi atau budaya harus berkembang.

“Saya mahu memberi tumpuan kepada padi kerana beras adalah makanan ruji kita,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak di sini, malam tadi.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak memerlukan tiga kriteria utama dalam kalangan pekerja iaitu individu yang mempunyai kualiti kukuh khususnya mereka yang mahir dalam teknologi mahupun pakar psikologi. Ia boleh mengubah minda masyarakat secara konsisten dalam menjana idea baharu.

Beliau membayangkan bahawa dalam tempoh 50 tahun akan datang, DOA boleh menjadi fasilitator, dengan pertanian berfungsi sebagai sektor ekonomi yang didorong oleh teknologi dan perusahaan perniagaan.

“Sarawak akan muncul sebagai negeri terkemuka dan berpendapatan tinggi dengan rakyatnya juga menikmati pendapatan tinggi,” katanya.

Pada majlis tersebut, Abang Johari dianugerahkan Anugerah Khas 100 Tahun Jabatan Pertanian.

Selain itu, ‘Anugerah Jasa Bakti’ sempena ulang tahun ke-100 jabatan itu disampaikan kepada 10 bekas Pengarah Pertanian Sarawak, termasuk Datuk Joseph Kong Teck Chong, Andrew Tan Chiok Chiew, Datu Henry Bakit Jantum, Julaihi Ismail, Edwin Liew Chung Hiun, William Chang Wei Say, Datu Mohd Sepuan Anu, Paul Vincent Ritom, Datu Lai Kui Fong dan Dr Alvin Chai Lian Kuet.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, barisan Menteri Dan Timbalan Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.