SARIKEI: Seramai 53 penerima menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Bukit Kinyau dekat sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyerahkan surat itu yang berlangsung di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei di sini.
Berucap pada majlis itu, Len Talif berkata, program Skim Penempatan Semula (SPS) dan SPK merupakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk golongan berpendapatan rendah yang memerlukan tanah bagi mendirikan rumah yang telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4).
SPK dan SPS untuk golongan yang berpendapatan rendah, katanya, adalah bukti Kerajaan Sarawak prihatin terhadap keperluan rakyat untuk mendirikan rumah.
Melalui SPK dan SPS kerajaan menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang, dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan yang teratur, bekalan air dan elektrik.
Purata sebanyak RM150,000 kos diperuntukkan bagi setiap lot yang meliputi pelaksanaan seperti jalan raya berturap, parit konkrit, lot-lot yang ditembok, bekalan air dan eletrik.
Beliau berkata, kadar bayaran premium tanah bagi setiap lot tidak melebihi RM2,500 dan pembayaran boleh dibuat secara ansurans tahunan sehingga 10 tahun.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, kerajaan turut menaik taraf SPS dan SPK sedia ada yang belum diserahkan mengikut pendekatan baharu.
“Rumah Spektra Permata (RSP) turut diperkenal dan dibangun di SPS dan SPK dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) bagi membantu mereka yang layak mendapat RSP dengan menawarkan kemudahan pembiayaan pinjaman dengan kadar faedah yang tidak membebankan pemilik lot melalui Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihati penerima TOL supaya jangan menjual lot tersebut demi keuntungan semata-mata dan berharap ia akan dibangunkan dengan membina rumah kediaman.
