UNIMAS DEX penuhi keperluan pekerja berkemahiran

KOTA SAMARAHAN: Literasi dan kompentesi digital akan menjadi satu daripada keperluan memenuhi permintaan pekerjaan yang diperlukan Sarawak pada masa depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelancaran Hab Pengalaman Digital Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS DEX) adalah tepat pada masanya selari dengan lima tonggak Hala Tuju Ekonomi Digital Sarawak.

“Matlamatnya untuk mempercepatkan ketersediaan digital dalam kemahiran dan bakat digital, infrastruktur dan kesalinghubungan, tadbir urus data dan keselamatan siber, penyelidikan, inovasi dan keusahawan,” katanya

Beliau berkata demikian semasa melancarkan UNIMAS DEX di UNIMAS di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, Sarawak bukan setakat menyiapkan diri dengan era digital tetapi sedang giat meletakkan negeri ini untuk menerajuinya.

UNIMAS DEX itu dilancarkan dengan kerjasama peneraju teknologi global seperti Google, AI Singapura, Pusat AI Sarawak, Insights Analytics danPerunding EY.

Lima tonggak strategik Hala Tuju Ekonomi Digital Sarawak 2030, katanya, menggariskan keutamaan pertumbuhan ekonomi, pembangunan perniagaan digital, sektor awam dan perkhidmatan, mengadoptasi teknoloogi dan pengekalan ekonomi digital.

Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, tambahnya, Sarawak mahu beralih daripada ekonomi berasaskan sumber tradisional kepada kemajuan teknologi berasaskan data dan inovasi.

Uggah berkata, melalui Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), negeri ini menggariskan menjelang tahun 2050 dijangka mewujudkan 80,000 pekerjaan melalui tujuh tonggak tenaga dibaharui.

Tujuh tonggak itu ialah tenaga dibaharui, gas asli, kecekapan tenaga, hidrogen, mobiliti karbon rendah, CCUS dan tenaga alternatif, katanya.

Kemunculan industri berkenaan, katanya, akan memerlukan tenaga kerja mahir yang sesuai dengan permintaan kompetensi teknologi.