KUCHING: Proses perundangan dan prosedur yang perlu dipatuhi mungkin menyebabkan tambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau bagaimanapun berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mencari jalan penyelesaian terbaik agar prosesnya dapat diatasi secepat mungkin kemudian mendapat kelulusan Parlimen dengan segera.
Bercakap kepada media di sini hari ini, beliau menyambut baik usaha SPR memulakan proses persempadanan semula yang melibatkan cadangan penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, oleh kerana proses persempadanan semula itu memerlukan notis dipamerkan untuk tempoh tertentu ia membabitkan masa lebih lama.
Sekiranya keseluruhan proses itu mengambil masa sehingga beberapa bulan, timbul persoalan sama ada 17 kerusi baharu tersebut dapat diwujudkan sebelum tempoh DUN Sarawak berakhir, katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat permohonan pameran SPR di pejabat pejabat kerajaan mengenai persempadanan semula 17 kerusi baharu DUN Sarawak.
Pameran itu diadakan selama tiga bulan bagi memberi ruang kepada bantahan awam sebelum dibawa untuk kelulusan di peringkat Parlimen, katanya.
Beliau menambah, 17 kerusi baharu itu mungkin tidak dapat digunakan kerana jangka hayat DUN Sarawak hanya ada beberapa bulan lagi.
Tegasnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mempunyai pelbagai perancangan sebelum DUN Sarawak boleh dibubar.
“Premier Sarawak ada perancangan dia sendiri bila nak membubarkan, dia mungkin tak nak tunggu SPR.
“Kalau tak serasi dengan tarikh, kalau nak adakan PRN hujung tahun ini, memang tak sempat 17 kerusi ini,” ujarnya.
Penambahan kerusi itu penting bukan atas faktor politik, sebaliknya bagi memastikan wakil rakyat dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada penduduk Sarawak yang mempunyai kawasan pilihan raya amat luas, katanya.
“Di Sarawak, ada kawasan DUN yang saiznya menyamai sebuah negeri di Semenanjung,” katanya.
Jelasnya, ada wakil rakyat yang perlu mengambil masa sehingga 10 hingga 15 jam untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
Selain itu, ujarnya, Sarawak memerlukan penambahan kerusi supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih.
Terdahulu, Abdul Karim mengadakan sidang media Festival Expo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26) di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
