Parti PBB N9 Padungan, SUPP Cawangan Kuching bekerjasama, siap siaga hadapi PRN

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N9 Padungan menerima kunjungan hormat dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong yang juga Ketua Cawangan Parti PBB Padungan, Rodiyah Sapiee menerima kunjungan yang diketuai Pemangku Pengerusi SUPP Cawangan Kuching, Jong Yean Pin.

Kunjungan itu bagi memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama antara parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menghadapi persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang selain bertukar pandangan mengenai mekanisme penyelarasan kerjasama di kawasan DUN.

Pertemuan tersebut juga memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan organisasi di peringkat akar umbi, isu semasa, pembangunan komuniti serta penyelarasan gerak kerja menjelang PRN akan datang

Pertemuan itu turut memperkukuhkan komunikasi dan kerjasama antara parti-parti komponen GPS.

“Semua pihak sependapat bahawa parti-parti komponen GPS perlu terus mengekalkan semangat perpaduan, saling mempercayai dan bekerjasama.

“Selain itu. mempereratkan hubungan di peringkat akar umbi, menyelaras sumber secara berkesan serta memanfaatkan sepenuhnya kekuatan gabungan,” kata Rodiyah.

Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak turut memperkenalkan struktur organisasi cawangan masing-masing serta berkongsi perkembangan gerak kerja di peringkat akar umbi.

Katanya, mereka akan berganding bahu merealisasikan aspirasi pembangunan berteraskan rakyat yang diperjuangkan GPS demi masa depan lebih cemerlang bagi Padungan, Kuching dan Sarawak.