10 OSIEC di Sarawak menjelang 2030

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan enam lagi Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSIEC) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini merangkumi kawasan Bintulu, Limbang, Lawas, Betong, Serian dan Kapit.

“Dengan adanya OSEIC sedia ada di Kuching, Dalat, Miri dan Samarahan, jumlah keseluruhan OSEIC menjelang 2030 akan menjadi 10 buah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan  Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat OSEIC Sarawak Bilangan 1 bagi Tahun 2025, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, melihat kepada peningkatan permintaan di Bahagian Samarahan, sebuah pusat OSEIC baharu di Samarahan sedang dibangunkan dalam kompleks Special Needs Community Centre (SNCC) dan dijangka siap 2027.

Beliau juga mendedahkan sehingga 31 Mac 2025, seramai 614 kanak-kanak telah mendaftar di OSEIC Kuching dan 52 kanak-kanak di OSEIC Dalat.

“Majoriti terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD) dan kelewatan pertuturan,”katanya.

Menurutnya selain itu, senarai menunggu untuk OSEIC Kuching telah mencecah 305 kanak-kanak manakala tiada senarai menunggu di OSEIC Dalat.