KUCHING: Ketua jabatan dalam perkhidmatan awam Sarawak disaran meneliti semula prosedur kerja yang sudah tidak lagi relevan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, seiring dengan kepesatan teknologi, penjawat awam tidak boleh terus terikat kepada rutin lama dan kelewatan, kerenah birokrasi serta sikap menunggu arahan perlu dihentikan.
“Justeru, saya menyarankan ketua jabatan meneliti semula dasar, prosedur dan proses kerja yang sudah tidak lagi relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks Amanat Bulan April 2025, hari ini.
Mohamad Abu berkata, penilaian semula dasar dan prosedur juga membuka ruang kepada mereka untuk meningkatkan keupayaan diri secara kreatif dan inovatif.
“Langkah ini bagi menghasilkan pendekatan baharu yang dapat memudah dan mempercepatkan proses kerja serta memberi impak positif kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau turut mengesa ketua jabatan agar lebih kerap turun padang berinteraksi terus dengan rakyat untuk memahami keluhan serta keperluan mereka, agar tindakan jabatan yang praktikal dan tepat.
