E-dagang catat kes penipuan tertinggi

KUCHING: Penipuan e-dagangan merekodkan jumlah kes tertinggi daripada sebanyak 1,568 kes berkaitan pelbagai jenayah siber di negeri ini sejak Januari hingga Oktober 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kes berkaitan pelbagai jenayah siber sepanjang tempoh itu melibatkan kerugian berjumlah lebih RM64.9 juta.

“Penipuan e-dagang sahaja merekodkan 513 kes melibatkan kerugian berjumlah lebih RM4.4 juta,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC MIDS) di sini hari ini.

Fatimah menegaskan, ini diikuti pinjaman tidak wujud merekodkan 253 kes melibatkan kerugian berjumlah lebih RM1.8 juta dan pelaburan tidak wujud merekodkan 232 kes melibatkan kerugian berjumlah lebih RM37.1 juta.

Penipuan telefon pula, katanya, mencatatkan 190 kes melibatkan kerugian sebanyak lebih RM12 juta, tipu tawaran kerja 159 dengan kerugian lebih RM5 juta dan penyamaran mencatatkan 101 kes dengan kerugian lebih RM1.6 juta.

“E-Kewangan merekodkan 88 kes melibatkan kerugian sebanyak RM1.6 juta dan Love Scam merekodkan 32 kes dengan kerugian lebih RM12 juta,” katanya.

Menurut Fatimah, isu sosial paling membimbangkan adalah penyalahgunaan dadah dan substans, dan mengikut rekod tangkapan yang terlibat dengan pelbagai aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans di Sarawak pada 2022, 2023 dan 2024 adalah seramai 33,115 orang.

“Jika dilihat dari peratusan berbanding dengan jumlah penduduk Sarawak yang lebih kurang 2.5 juta orang, hanyalah menunjukkan 1.32 peratus,” tegas beliau dan menambah, sungguhpun begitu, kesannya sudah mula menjejaskan kesejahteraan komuniti.

Bagi menangani isu tersebut, beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan tadbir urus OSC bagi MIDS Peringkat Negeri dan Daerah sejak Ogos 2018.

Kesemua 42 daerah di seluruh negeri ini telah menubuhkan OSC MIDS di daerah masing-masing, katanya.

“Diharap segala usaha dan kerjasama yang diberi oleh PDRM selama ini dapat diteruskan serta dipertingkatkan bagi mencapai lebih banyak kejayaan dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans dan pelbagai jenayah di Sarawak,” tegas Fatimah.