DBKU komited pulihara warisan budaya bandaraya Kuching

KUCHING: Kejadian sebahagian dinding sebuah lot rumah kedai di Jalan Padungan yang runtuh baru-baru ini, meninggalkan kesan kepada masyarakat kerana bangunan lama itu adalah sebahagian daripada warisan bandaraya Kuching.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman menzahirkan rasa bimbangnya mengenai isu terbabit dan bersedia bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam usaha memastikan semua bangunan yang berunsur budaya dipulihara untuk generasi akan datang.

Dinding yang runtuh itu memberi amaran tentang pentingnya langkah proaktif untuk melindungi warisan budaya dan juga keselamatan masyarakat, katanya.

“Bandaraya Kuching kaya dengan warisan budaya termasuk deretan bangunan kedai bersejarah di Jalan Gambier dan Lorong Carpenter, Tebingan Kuching, bangunan Pejabat Pos dan Limbungan Brooke. Tapak itu bukan sekadar mengandungi bangunan bersejerah tetapi juga melambangkan identiti kita, masa silam dan kebanggaan bersama masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, katanya, DBKU akan bekerja rapat dengan MBKS dan agensi berkaitan serta pihak memulihara warisan dalam memastikan bandaraya Kuching kekal selamat dan kondusif kepada kehidupan sambil memulihara budaya kecantikan bandaraya Kuching.

“Kita perlu bekerjasama dan akan mula mengadakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh ke atas bangunan bersejarah dan lama dengan mengetatkan peraturan penyelenggaraan bangunan dan menguatkuasakan pematuhan standard keselamatan bangunan.

“DBKU akan mengutamakan pemuiharaan dan integriti bangunan di tapak warisan sambil memastikan keselamatan orang ramai dan mewujud tempat yang selamat dan suasana bekerja yang kondusif bagi semua profesional yang terlibat dalam pemuliharaan, mengekal dan usaha pembinaan,” katanya.

Hilmy bersetuju dengan pandangan Datuk Bandar MBKS Wee Hong Seng supaya tidak menjadikan isu itu sebagai bahan politik.

Sebaliknya, beliau menggesa orang ramai berusaha memulihara dan percaya semua orang memain peranan dalam menjaga warisan negeri ini.

Beliau menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak atas tindakan pantas mereka dalam menangani kejadian itu dan DBKU komited bekerjasama dengan agensi terbabit untuk kebaikan bandaraya Kuching.