GEDONG: Sejumlah RM6.5 juta pampasan diagihkan kepada 119 pemilik tanah terlibat dengan pelaksanaan AgriHub Lubok Punggor, projek berimpak tinggi yang akan memperkukuh sektor pertanian moden di kawasan Gedong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan penyerahan cek pampasan tersebut sempena Majlis Berbuka Puasa Daerah Gedong di Masjid Al-Khawtar, di sini hari ini.
Penyampaian pampasan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Projek pembangunan AgriHub Lubok Punggor melibatkan pembinaan tapak gudang dan bengkel jentera, kolam takungan air serta kerja membina dan menaik taraf sistem pengairan dan saliran di kawasan berkenaan.
Dalam majlis sama, turut diagihkan sumbangan kepada 300 asnaf di kawasan itu yang disampaikan kepada 10 wakil penerima.
Sumbangan tersebut daripada Pejabat Premier Sarawak berjumlah RM10,000, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) berjumlah RM50,000 dan RM30,000 daripada Bank Rakyat.
Selain itu, sebanyak RM61,000 turut disalurkan kepada 26 penerima cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) membabitkan masjid dan surau di kawasan berkenaan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Penasihat (SME) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
