KUCHING: Sebahagian kawasan tanah di Gunung Poi yang dikenal pasti sebagai tanah hak adat Bumiputera (NCR) bakal dikeluar daripada status Hutan Simpan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar berkata, selepas proses pewartaan dibatalkan, pemilik tanah boleh mengemukakan permohonan rasmi kepada Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Kuching.
“Langkah tersebut penting bagi membolehkan pengukuran dijalankan serta pewartaan dilakukan mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa sejak pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu bermula Oktober 2010 hingga 30 April 2025, sejumlah 1,200,766 hektar tanah telah berjaya diukur secara perimeter.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 935,760 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) mengikut peruntukan Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan proses pengukuran itu dijalankan atas permohonan pemilik tanah yang terlibat.
“Sejak tahun 2017, tumpuan turut diberikan kepada pengukuran lot individu untuk membolehkan pemilikan rasmi dikeluarkan di bawah Seksyen 18.
Hasilnya, sebanyak 99,438 lot melibatkan keluasan 118,749 hektar telah dan akan menerima surat hak milik tanah.
“Bagi memastikan proses berjalan lancar, pemilik tanah disaran hadir semasa kerja pengukuran lapangan dilaksanakan bagi membantu menanda sempadan dan mengelak pertikaian,” katanya.
