KUCHING: Daripada sebanyak 700 permohonan bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang diterima antara 1 November 2022 hingga 13 Mei 2024, 68 peratus gagal memenuhi syarat ditetapkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanan-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdulah berkata, daripada jumlah itu, 223 (32 peratus) memenuhi syarat dan masih dalam proses pengeluaran Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan (DSITKS).
Kanak-kanak yang layak mendapat DSITKS adalah yang dilahirkan di Sarawak dengan salah seorang ibu bapa kandung mereka warganegara Malaysia pemastautin Sarawak, katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Kewarganegaraan dan DSITKS kepada seramai 13 penerima, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mereka juga perlu memiliki sijil lahir didaftarkan di Sarawak, berstatus warganegara yang belum ditentukan, sudah memohon kewarganegaraan menurut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan berumur 21 tahun ke bawah.
“Pada 21 Julai 2022, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengeluarkan DSITKS agar individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan di Sarawak,” katanya.
