46 penduduk Kampung Triso Darat terima Surat Hak Milik Seksyen 18

MALUDAM: Kerajaan Sarawak melindungi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR bagi memastikan pemilik memperoleh hak milik sah serta sempadan tanah yang jelas.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata kerajaan tidak pernah memandang remeh isu tanah NCR, sebaliknya memperkenalkan pelbagai langkah bagi mempercepatkan proses pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah.

Beliau berkata, Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan pada 2010 dilaksanakan secara dua peringkat, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, diikuti pengukuran lot individu serta pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18.

Menurutnya, program itu diwujudkan hasil Program Transformasi Kerajaan Sabah-Sarawak Bumiputera Lab dan dipantau menerusi Program Khas Bumiputera (PKB) oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kampung Triso Darat di Maludam, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli serta Pemangku Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Patricia Ngu Ming Hung.

Len Talif berkata, sehingga 30 Jun 2026, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) berjaya melaksanakan pengukuran perimeter melibatkan lebih 1.24 juta hektar tanah di seluruh Sarawak, dengan hampir 968,000 hektar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

Bagi pengukuran lot individu pula, sebanyak 111,488 lot berjaya diukur melibatkan keluasan 133,617 hektar, manakala 38,620 lot telah menerima Surat Hak Milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Pada majlis itu, seramai 46 penduduk Kampung Triso Darat menerima Surat Hak Milik Seksyen 18 sebagai bukti pemilikan sah terhadap tanah masing-masing.

Len Talif berkata, Surat Hak Milik Seksyen 18 menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pengecualian cukai tanah dan premium serta hak milik kekal.

Beliau mengingatkan pemilik supaya memanfaatkan tanah sebagai aset warisan dan sumber ekonomi.