PETROS catat sejarah, selepas hampir 50 tahun minyak daratan Sarawak kembali mengalir

MIRI: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRA Energy Berhad (PETRA) memulakan pengeluaran minyak pertama di Adong Kechil West (AKW), Blok SK433, sekali gus mengembalikan pengeluaran minyak daratan Sarawak selepas hampir 50 tahun.

Naib Presiden Kanan PETROS bagi Pengurusan Sumber Sarawak, Dato Abang Arabi Abang Narudin berkata kejayaan itu susulan penggerudian telaga penilaian dan pembangunan AKW pada 2023, sekali gus membuktikan potensi besar sumber petroleum daratan yang diterajui Sarawak.

“Kita bukan sekadar meraikan kejayaan projek ini, malah kekuatan kerjasama yang menjayakannya. PETROS kekal komited mengurus penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon Sarawak secara bertanggungjawab demi manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan PETROS, hari ini.

Sistem Pengeluaran Awal (EPS) membolehkan pengeluaran dimulakan lebih awal sambil mengumpul data penting bagi pembangunan medan pada fasa seterusnya.

AKW dijangka menghasilkan kira-kira 800 tong minyak sehari dan menjadi pemangkin kepada pembangunan kluster petroleum daratan di kawasan sekitarnya.

Fasa seterusnya projek itu akan memberi tumpuan kepada pembinaan kemudahan pengeluaran dan infrastruktur bagi membekalkan gas kepada Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri menjelang akhir 2027.

“Pembangunan AKW membuka lembaran baharu industri petroleum daratan Sarawak, selain menyokong bekalan tenaga jangka panjang untuk Miri dan pembangunan sektor tenaga negeri,” tambahnya.

Selain itu, pengeluaran minyak pertama di AKW turut mengesahkan potensi besar sumber hidrokarbon daratan Sarawak untuk dibangunkan pada masa depan.

Pencapaian itu mencerminkan kemampuan Sarawak menerajui pembangunan sumber petroleumnya sendiri melalui pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi.

Sehubungan itu, PETROS menegaskan komitmennya untuk terus meneroka dan membangunkan sumber hidrokarbon negeri secara bertanggungjawab demi manfaat berterusan kepada Sarawak dan rakyatnya.