KUCHING: Sebanyak 75 projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan peruntukan Projek Rakyat sehingga 30 April 2024.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek tersebut akan menyediakan sebanyak 7,570 lot kediaman membabitkan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM1.219 bilion.
Katanya, daripada 75 projek itu, 19 projek siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 56 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMK-12.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, sejak 6 Mei 2018, projek-projek SPS dan SPK yang dilaksanakan menggunakan spesifikasi infrastruktur yang ditambah baik seperti jalan raya berturap, parit konkrit, lot-lot ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta elektrik.
“Kerajaan Sarawak juga telah menetapkan bayaran premium tanah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot kediaman di dalam SPS dan SPK walaupun kos penyediaan setiap lot tersebut dalam lingkungan RM120,000 hingga RM150,000.
“Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan GPS yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau menambah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan ke atas cadangan menaik taraf infrastruktur sedia ada kepada infrastruktur berspesifikasi baharu.
Katanya, infrastruktur berspesifikasi baharu iaitu jalan berturap, sistem perparitan konkrit dan lot-lot kediaman yang ditembok.
