KUCHING: Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion diperlukan bagi mewujudkan dan menaik taraf infrastruktur padi di negeri ini.
Ia terdiri daripada 4,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hektar Skim Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sedia ada.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sasaran itu bagi membolehkan Sarawak mencapai 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL).
Bagaimanapun katanya, untuk mencapai 100 peratus SSL, 17,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hektar Skim DID sedia ada diperlukan dengan anggaran kos RM4.68 bilion.
Katanya, Sarawak memerlukan sejumlah 17,500 hektar kawasan baharu yang dilengkapi dengan infrastruktur tertiari untuk menghasilkan kira-kira 392,000 tan metrik padi atau bersamaan 235,000 tan metrik beras menjelang 2030 bagi mencapai 100 peratus SSL.
Katanya, pengeluaran padi di Sarawak pada 2023 adalah kira-kira 118,000 tan metrik atau 32 peratus SSL.
“Pada 2023, kira-kira 61,000 hektar tanah ditanam dengan padi dan 32,000 hektar daripadanya diklasifikasikan sebagai padi basah manakala baki 29,000 hektar untuk padi bukit.
“Justeru, untuk mencapai 60 peratus SSL, Sarawak perlu mengeluarkan kira-kira 236,000 tan metrik padi bersamaan dengan 142,000 tan metrik beras,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementerian M-Ficord pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Katanya, M-Ficord telah mengenal pasti kawasan baharu terletak di Sri Bahagian Aman, Kapit, Mukah dan Limbang untuk dilengkapi dengan tertiari infrastruktur.
