ICIF 2025 tonjol kreativiti, inovasi masyarakat Islam Sarawak

KUCHING: Festival Inovasi dan Kreativiti Islam (ICIF) 2025 sebagai platform mengangkat kreativiti dan inovasi masyarakat Islam Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran festival ini menggalakkan masyarakat, khususnya generasi muda, untuk berkarya dan menghasilkan idea bernas demi masa depan.

“Bagi anak-anak muda Islam khususnya, karya dan inovasi mesti berlandaskan rangka keislaman.

“ICIF ini berperanan menyediakan ruang kepada masyarakat, terutama anak muda untuk memberi idea dan sebagainya,” katanya semasa sidang media semasa program ICIF 2025 di Pusat Penerangan Islam Sarawak (IIC) di sini malam tadi.

Menurutnya, festival ini memberi peluang kepada penggiat seni dan karya untuk menjalin hubungan di peringkat negeri mahupun dengan rakan-rakan di luar negara.

Dr Abdul Rahman menegaskan, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi galakan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda dan usahawan dalam bidang inovasi dan kreativiti.

Sementara itu, Taman Orkid turut dirasmikan di pusat tersebut oleh isteri beliau, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.