LAWAS: Daerah ini memerlukan sebuah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai ruang untuk mendapat maklumat dan menjalankan aktiviti.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, pusat berkenaan juga diyakini dijadikan tempat pergaulan harmoni antara kanak-kanak berbagai latar belakang.
“Pergaulan harmoni dalam kalangan kanak-kanak pada peringkast usia masih muda akan mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Kasih Kanak-kanak Bahagian Limbang di Dewan Masyarakat Sundar di sini hari ini.
Beliau difahamkan belum ada khususnya PAKK di kawasan ini.
“Maka, kita mohon bagi penduduk Lawas agar diwujudkan PAKK di Lawas,” tegas beliau.
Hadir sama Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-kanak daerah Limbang Adinin Adol dan Pegawai Kebajikan Bahagian Limbang Abang Ahmad Ibrahim Abang Abdul Rahman.
PAKK berfungsi sebagai pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sosial dan rekreasi yang kondusif untuk kanak-kanak.
