KUCHING: Sarawak menyokong usaha Malaysia dalam memperkukuh keamanan, kestabilan dan kerjasama konstruktif di Laut Cina Selatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan tanggungjawab ke atas Laut Cina Selatan adalah kolektif yang menuntut kerjasama semua negara terlibat untuk menjaga keamanannya.
“Kami yakin bahawa mesyuarat ini melambangkan usaha bersama kita untuk merealisasikan komitmen bersama terhadap keamanan, kestabilan dan kerjasama konstruktif di Laut Cina Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Gala Sarawak sempena Mesyuarat Ke-24 Pegawai Kanan ASEAN-China Mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku (DOC) di Kuching malam ini.
Menurut Abang Johari, perkara ini ditekankan dalam Dasar Berkecuali yang bermula selepas Persidangan Bandung 1955, yang melahirkan konsep Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) dan masih relevan dalam ASEAN hari ini.
Ia menjadi asas kepada hubungan serantau yang saling menghormati, kata Premier.
Sementara itu ketika ditemui, Premier Sarawak menjelaskan sebarang aktiviti negara luar di Laut Cina Selatan yang melibatkan perairan Malaysia akan dibincangkan mengikut undang-undang antarabangsa. — UKAS
