Bekas pelajar, guru SMK Bahasa Malaysia Saratok sesi 1979 dipertemukan semula

KABONG: Majlis Reunion Bekas Guru dan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok sesi 1979 berlangsung dalam suasana penuh keakraban.

Majlis yang menghimpunkan 60 bekas pelajar dan guru itu diadakan di Inap Desa Wan Brunei dekat sini, malam tadi.

Batch 1979 merupakan kumpulan pelajar pertama SMK Bahasa Malaysia Saratok sejak sekolah itu dibuka pada tahun sama, menjadikan pertemuan ini lebih bermakna.

Bekas pelajar berkongsi kenangan manis zaman persekolahan, mengimbau saat-saat awal penubuhan sekolah dan kisah persahabatan yang terjalin lebih empat dekad lalu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran bekas pendidik yang pernah mencurah ilmu kepada kumpulan ini, antaranya Cikgu Borhan, Wan Busrah Wan Skran, Kiprawi Trang, Yusuf Trang dan Sahari Md Nor. Kehadiran mereka disambut penuh mesra oleh bekas anak murid yang kini sudah berjaya dalam pelbagai bidang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata penganjuran majlis ini dilaksanakan secara santai hasil usaha dan komitmen ahli kumpulan WhatsApp ‘Sepangkeng’ yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran acara.

Beliau turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan pertemuan ini, sambil mendoakan agar hubungan persahabatan yang terjalin terus kukuh dan diberkati.