Projek pembaikan dilaksana tangani ancaman tanah susur Kampung Seberang Maludam

MALUDAM: Ancaman tanah susur di Kampung Seberang Maludam mendapat perhatian segera apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor meninjau keadaan susulan aduan daripada penduduk, hari ini.

Kejadian tanah susur berhampiran tebing sungai itu menyebabkan rekahan ketara pada permukaan jalan raya, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna.

“Keadaan ini berpotensi menjadi lebih serius sekiranya tidak ditangani segera. Keselamatan penduduk adalah keutamaan,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, projek pembaikan akan dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM400,000.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati serta mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Selain itu, Dayang Noorazah memaklumkan bahawa pihaknya akan memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan kerja-kerja susulan, termasuk langkah pencegahan jangka panjang.