KUCHING: Mesyuarat Ke-24 ASEAN-China Meeting of Senior Officials on the Declaration of the Code of Conduct (DOC) on the South China Sea menjadi pertemuan utama di peringkat pegawai kanan ASEAN dan China bagi mencari hala tuju kolektif demi menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Dato’ Sri Amran Mohamed Zin berkata mesyuarat berprofil tinggi itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama berkaitan isu-isu Laut China Selatan.
Jelasnya, mesyuarat itu tidak memfokuskan kepada isu persempadanan atau bidang kuasa.
Sebaliknya, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu memastikan semua pihak terus menghormati prinsip yang terkandung dalam DOC serta meneruskan rundingan bagi memuktamadkan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan.
“Mesyuarat ini merupakan salah satu pertemuan utama di peringkat pegawai kanan ASEAN dan China bagi mencari hala tuju kolektif demi menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara, khususnya dalam memperkukuh kerjasama berkaitan isu-isu Laut China Selatan.
“Kita menetapkan sasaran untuk menamatkan rundingan COC menjelang Julai 2026. Tarikh akhir semakin hampir dan usaha rundingan perlu digiatkan secara lebih agresif agar draf COC dapat dimuktamadkan mengikut jadual,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Menurut Amran, kunjungan tersebut bertujuan merakamkan penghargaan kepada Abang Johari dan Kerajaan Sarawak atas kesudian menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut. — UKAS
