Kontinjen Sarawak perlu tunjukkan disiplin, semangat kesukanan – Julaihi

KUCHING: Sarawak menghantar kontinjen seramai 213 orang untuk menyertai temasya kejohanan Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) 2025 di Selangor bermula 21hb Ogos sehingga 25 Ogos ini.

Mereka terdiri dari pegawai dan kakitangan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dan Sarawak Water Sdn. Bhd dan akan menyertai kejohanan setiap dua tahun itu yang menghimpunkan semua operator bekalan air seluruh Malaysia.

Kontijen Sarawak diketuai oleh Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohamad Fadillah Awg Redzuan akan menyertai semua 13 acara sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak, futsal, badminton, bola jaring, bola tampar, boling, damak, karom, sepak takraw, ping pong, tarik tali, footgolf dan golf.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berharap kontinjen Sarawak akan menunjukkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi, mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, serta mengangkat imej Sarawak sebagai pasukan hebat bukan sahaja dari segi prestasi, tetapi juga sikap profesional dan mesra.

“Ingatlah, bendera Sarawak yang kita bawa ini melambangkan maruah dan kebanggaan rakyat kita, justeru buktikan semangat ’Encang Sarawak Encang,” katanya ketika majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak ke SBAM 2025 Selangor di Menara LCDA, di sini, hari ini.