KUCHING: PETROS akan melaksanakan projek perintis Sarawak Virtual Pipeline System (VPS), iaitu gas asli cecair (Liquefied Natural Gas – LNG) akan dihantar dari Bintulu ke bandar raya ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek itu masih dalam peringkat rundingan komersial.
“Ia dijangka akan dimuktamadkan pada suku pertama 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Julaihi menjelaskan, PETROSNiaga akan menjadi pengedar tunggal bagi Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi di Sarawak mulai bulan depan.
Sekarang katanya, terdapat dua syarikat pembekal LPG bersubsidi bagi negeri ini iaitu PETROSNiaga dan Syarikat MYGAZ Sdn. Bhd.
Katanya, PETROSNiaga ketika ini menguasai 68 peratus pasaran di seluruh Sarawak manakala 32 peratus dikuasai oleh Syarikat MYGAZ Sdn. Bhd.
“PETROSNiaga iaitu anak syarikat PETROS milik Kerajaan Sarawak akan menjadi pengedar tunggal bagi pasaran LPG bersubsidi yang melibatkan melebihi 700,000 silinder gas di seluruh Sarawak mulai 1 Disember 2023,” katanya.
Julaihi berkata, PETROSNiaga adalah syarikat tempatan yang dimiliki PETROS sebanyak 51 peratus ekuiti dan 49 peratus milik PETRONAS Dagangan Berhad yang 100 peratus milik Malaysia.
Manakala MYGAZ Sdn. Bhd. adalah anak Syarikat SIAM Gas yang merupakan sebuah syarikat pembekal LPG dari negara Thailand.
“Kementerian saya telah memutuskan bahawa lesen LPG bersubsidi untuk syarikat MYGAZ Sdn. Bhd. yang tamat pada 30 November 2023 tidak diperbaharui,” tambahnya.
Katanya, ini bermakna MYGAZ Sdn. Bhd. tidak lagi dibenarkan menjalankan perniagaan LPG bersubsidi bermula 1 Disember 2023
“Bagaimanapun lesen LPG tanpa subsidi untuk MYGAZ Sdn. Bhd. masih lagi sah sehingga 29 Jun 2024,” tambahnya dan bermakna syarikat itu masih lagi menjalankan perniagaan LPG tanpa subsidi di Sarawak.
