KUCHING: Daerah Gedong akan menjadi hab utama pengeluar benih padi hybrid bagi kegunaan petani di negeri ini.
Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Dato Sri Naroden Majais berkata, ini menerusi pengeluar benih padi hybrid 538 oleh syarikat Global Tech Farm dari Semenanjung.
Katanya, seluas kira-kira 80 hektar (200 ekar) di Gedong disediakan untuk menjadi tapak semaian bagi benih padi hybrid.
“Tanah itu bakal mengeluarkan benih dengan tiga musim,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian sewa tanah di Teranggas, Gedong di pejabatnya di sini, hari ini.
Perjanjian itu antara Jawatankuasa Tanah Teranggas Gedong yang mewakili pemilik-pemilik tanah di Teranggas dan pelabur yang akan mengusahakan tanah tersebut.
Naroden berkata, dengan menggunakan benih padi itu pihaknya berharap satu hektar sawah di negeri ini dapat mengeluarkan kira-kira lapan tan padi semusim atau 24 tan untuk satu hektar untuk tiga musim.
Jelas beliau, benih padi hybrid berkenaan akan dibekalkan kepada petani menerusi kaedah Kontrak Pertanian iaitu mereka mengusaha tanah tersebut dan menjual balik hasil tanaman mereka kepada syarikat terbabit.
