MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menggesa proses perpindahan ke bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak dipercepatkan demi keselesaan murid.
Gesaan itu dibuat semasa lawatan beliau ke tapak projek pembinaan sekolah berkenaan, yang turut melibatkan SK Dua Sungai dan SK Dijih, Selangau di bawah pakej gantian penuh bernilai RM21 juta.
“Projek ini dibiayai melalui peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah daif seluruh negara.
“Justeru, kita berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana dapat mempercepatkan kelulusan bangunan supaya murid, guru dan komuniti setempat menikmati kemudahan lebih selamat dan kondusif,” katanya selepas mengadakan lawatan di sekolah itu, semalam.
Beliau memaklumkan pembinaan berjalan lancar namun PIBG serta guru berharap tarikh penyerahan rasmi bangunan dimuktamadkan lebih awal.
Projek ini dijangka meningkatkan mutu pendidikan di luar bandar Mukah dan Selangau selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur pendidikan, katanya lagi.
Selesai melawat SK Kampung Petanak, Royston turut meninjau perkembangan pembinaan SK Dua Sungai. Turut hadir Guru Besar Afian Bokhan dan Yang Dipertua PIBG, Ramlan Ali.
