KUCHING: Sarawak kini mempunyai 65 kluster inap desa berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), sekali gus melepasi sasaran awal 60 kluster menjelang 2030.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian ini membuktikan pelancongan berasaskan komuniti semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, bagi tahun 2024, Sarawak menerima seramai 52,927 pelancong domestik dan 3,046 pelancong asing dengan jumlah hasil mencecah RM6,697,072.04 daripada program inap desa.
“Inap desa bukan sekadar penginapan alternatif, tetapi mewakili jiwa dan budaya masyarakat kita.
“Apabila pelancong memilih inap desa, mereka bukan sekadar melawat destinasi, sebaliknya mereka menghidupi pengalaman itu,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Pertandingan Menulis DayakDaily 2025 bertemakan “Homestay Odyssey” di Hotel The Waterfront, di sini, hari ini.
Jelas Abdul Karim, setakat ini empat inap desa Sarawak telah menerima pengiktirafan Standard Homestay ASEAN, iaitu Homestay Santubong, Kuching, Homestay Rumah Benjamin Angki, Sibu, Homestay Ba’Kelalan, Lawas dan Homestay Bario, Miri.
Selain itu, ujar beliau, MTCP giat menganjurkan program pembangunan kapasiti untuk pengusaha inap desa meliputi latihan hospitaliti, kualiti perkhidmatan, pemasaran digital, pembangunan kraf, kemahiran komunikasi serta kepimpinan dan pengurusan.
