KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggalakkan agar ramai wanita mempelajari penggunaan Kecergasan Buatan (AI), kata menterinya, Dato Sri Nancy Shukri.
Katanya, langkah itu perlu bagi memantau anak-anak mereka menggunakan gadget dengan teknologi itu supaya ia digunakan dengan cara yang betul.
“Kita tidak boleh membalikkan AI ini, tapi kita harus mempelajarinya untuk membawa penambahbaikan dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gempak Inspirasi @ Sepagi Bersama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di Wisma SABATI, Petra Jaya, Kuching, hari ini.
Menurut Nancy, kementeriannya mengadakan lawatan berkaitan penggunaan AI di Korea Selatan baru-baru ini.
Nancy berkata, lawatan itu bukan bagi melibatkan wanita sahaja tetapi secara menyeluruh dalam penggunaan AI.
Sementara itu mengenai Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Nancy berkata pertubuhan itu menjadi tulang belakang komuniti wanita di Sarawak.
Pertubuhan itu katanya, membawa pendidikan asas, literasi kewangan, kemahiran hidup dan membina keyakinan wanita dari kampung hingga ke bandar sejak 1962.
PPWS kini mempunyai 11,000 lebih ahli.
“Syabas kerana sudah mencapai 11,000 lebih dan itu tidak cukup, maka sebab itu kita perlu teruskan aktiviti ini,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita selaku Penyelaras Program, Hanani Sapit serta Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhayati Mohd Ismail.
