Tiada jangka masa rundingan minyak, gas

KUCHING: Kerajaan berharap rundingan undang-undang Persekutuan dan Sarawak berkaitan minyak dan gas dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini demi melancarkan urusan pelaburan dan operasi industri minyak dan gas, sama ada di pesisir mahupun daratan meskipun tiada jangka masa ditetapkan bagi rundingan terbabit.

“Setakat ini kita tidak bagi jangka masa tapi memang dah ada persetujuan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival 3K Petra Jaya 2025 di Dewan Masyarakat Kampung Samariang Batu di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat pada Jumaat yang menyatakan bahawa terma-terma dalam deklarasi tersebut masih belum dimuktamadkan.

Fadillah juga berkata, undang-undang Persekutuan dan negeri berkaitan minyak dan gas mesti berjalan seiring serta saling mengiktiraf antara satu sama lain selaras dengan kandungan deklarasi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

“Persekutuan tidak boleh menidakkan Undang-Undang Sarawak, begitu juga Sarawak tidak boleh menidakkan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, perundingan perniagaan antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) masih berjalan meskipun deklarasi tersebut sudah dimeterai.

“Sekarang ini, apa yang kita nak galakkan ialah di antara perundingan secara pentadbiran dan komersial di antara Petronas dengan Petros. Itu sedang berjalan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata penganjuran Karnival 3K Petra Jaya 2025 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat menerusi pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi, sektor swasta serta komuniti setempat.

Katanya, inisiatif seperti Karnival 3K berfungsi sebagai platform dalam menjalin hubungan dua hala antara rakyat dan kerajaan. Ia sekali gus memastikan perkhidmatan kerajaan benar-benar menyentuh keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.