KUCHING: The Iban Women Charitable Trust (IWCT) akan menganjurkan pertandingan Pekit Pengelandik Jari bagi kategori lelaki dan wanita Iban warganegara Malaysia mulai 18 Ogos sehingga 30 April 2026.
Pengerusi Pertandingan, Dr Anna Durin berkata, sembilan kategori pertandingan itu dengan hadiah tempat pertama kategori itu dari RM2,000 hingga RM5,000 dan pertandingan bertujuan menggalakkan komuniti Iban mengekalkan warisan budaya mereka melalui penghasilan kraftangan.
Kategori terbabit ialah Pekit Nganyam (Tikai Bemban Anyam Bebuah), Pekit Nenun Pua Kumbu, Pekit Nenun Kain Kebat Kena Orang Indu Besai Tuai, Pekit Nenun Kain Karap Kena Orang Indu Besai Tuai, Pekit Nusuk Marik (Marik Empang Tradisional/Tangu), Pekit Baju Asal Kuas Iban (sais besai tuai), Pekit Ngaga Duku Pengayau: Nyabur Indu, Pekit Ngaga Duku Pengayau: Nyabur Lelaki dan Pekit Ngaga Duku Pengayau: Langgai Tingang.
“Pertandingan ini juga boleh dijadikan sebagai wadah untuk merealisasikan United Nations Declaration on Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP) 13 September 2007 yang inginkan penduduk pribumi terus mengekalkan warisan budaya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertandingan itu bersama Setiausaha IWCT, Linda Nanang dan Bendahari IWCT, Datin Sri Angelina Ujang di sini, semalam.
Anna berkata, item yang dipertandingkan hendaklah diterima di ibu pejabat The Iban Women Charitable Trust selewat-lewatnya pada 30 April 2026 dengan menyertakan sekurang-kurangnya empat keping gambar menunjukkan peserta dalam peringkat membuat barang yang dipertandingkan.
Tiada yuran penyertaan dan seorang peserta dibenarkan menyertai lebih daripada satu kategori pertandingan itu.
Borang Pertandingan Pekit Pengelandik Jari boleh didapati dari ibu pejabat IWCT di Queen’s Court, Block E-4-1 Lot 9937, Jalan Wan Alwi di sini dengan Fax/Tel No. : 082-578335/ 0198572899.
Borang yang lengkap diisi hendaklah dihantar ke Ibu Pejabat IWCT atau dihantar secara online melalui Google Form Pekit Pengelandik Jari: https://forms.gle/yKLmuL821mSz52SJ7 sebelum atau pada 18 Oktober 2025.
