Cadangan tambah dua kapal Sarawak Coastguard, perkukuhkan benteng perairan

TANJUNG MANIS: Keselamatan perairan Sarawak akan terus diperkukuhkan terutamanya daripada kegiatan penangkapan ikan secara haram.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara pendekatan yang digunakan setakat ini adalah penanaman tukun tiruan dan pelaburan besar dalam Sarawak Coastguard.

Menurutnya, sebanyak RM70 juta dilaburkan untuk projek penanaman tukun tiruan yang bukan sahaja berfungsi sebagai ekosistem hidupan laut.

Malah, katanya mampu menjejaskan pukat tunda pendatang asing.

Beliau berkata demikian pada Penangguhan Safari Memancing Tanjung Manis, di sini hari ini.

Dedahnya lagi, Kerajaan Sarawak bercadang menambah dua lagi kapal Sarawak Coastguard berukuran 50 meter bagi memantapkan keselamatan di perairan Sarawak.

Tegas Abang Johari, meskipun Kerajaan Sarawak membelanjakan jumlah yang besar untuk tujuan ini, namun usaha ini dapat membantu komuniti nelayan sepanjang perairan Sarawak dari Lawas hingga ke Sematan.

Sementara itu, Abang Johari berkata Safari Memancing Tanjung Manis akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak berikutan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran edisi ke-18 kali ini.