MIRI: Kes perceraian membabitkan pasangan Islam di Sarawak mencatat trend peningkatan membimbangkan dengan sebanyak 1,124 kes direkodkan pada 2024.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, tiada persefahaman antara pasangan antara punca utama kes perceraian pasangan Islam di negeri ini.
Di peringkat Malaysia pula katanya, sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara pada 2024 berbanding 5,507 kes pada tahun sebelumnya.
“Ini adalah cabaran sebenar yang perlu kita tangani bersama, bukan hanya melalui undang-undang, tetapi juga dengan pendidikan, bimbingan dan sokongan sosial,” tegas beliau ketika merasmikan Wacana Khas Keluarga Islam Sarawak 2025 bertemakan “Syariah Asas Keluarga Sejahtera” di Dewan Suarah Miri, hari ini.
Justeru katanya, institusi keluarga Islam harus menjadi tunjang utama dalam membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Namun, ia berdepan cabaran serius apabila statistik perceraian dan keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan kebelakangan ini.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang berbuat baik kepada keluarga harus dijadikan panduan membentuk rumah tangga bahagia.
Katanya, syariah bukan sekadar undang-undang, tetapi asas penting dalam membina kasih sayang, kesetiaan dan kesejahteraan keluarga.
“KPWKM kini melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program kaunseling keluarga, kursus pra-perkahwinan yang diperkasa serta kempen kesedaran melalui Talian Kasih.
“Setiap keluarga yang kita kuatkan hari ini akan menjadi benteng negara esok. Setiap hati yang kita sentuh hari ini akan menjadi cahaya masa depan yang tidak akan padam,” ujarnya.
Majlis anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak itu turut menyaksikan pelancaran Unit Pemantauan Bahagian Sokongan Keluarga, penyampaian bantuan dana serta agihan Bakul Sakinah.
