KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) memperkukuh komitmen jangka panjang dalam melindungi Orang Utan Borneo serta memelihara biodiversiti negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh menegaskan Sarawak menekankan inisiatif baharu, kerjasama strategik dan pendekatan berasaskan komuniti yang berjaya mengekalkan populasi orang utan pada tahap stabil.
“Orang utan adalah simbol khazanah alam Sarawak. Kelangsungannya bergantung kepada usaha bersama yang merangkumi dasar kerajaan, penyelidikan saintifik dan sokongan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sambutan Hari Orang Utan Antarabangsa 2025 di Pusat Hidupan Liar Semenggoh hari ini bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sambutan yang berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pelancaran rasmi, kempen digital interaktif, program bersama sekolah, pertandingan fotografi alam semula jadi serta majlis penutup dengan ikrar pemuliharaan.
Len menegaskan, meskipun terdapat cabaran kos tinggi dan kekangan tenaga kerja di pedalaman, pendekatan bersepadu Sarawak yang menggabungkan perlindungan habitat, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama saintifik serta penglibatan komuniti, memastikan negeri ini kekal sebagai peneraju global dalam pemuliharaan orang utan.
Menurut beliau, usaha ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menjadikan pemuliharaan orang utan sebagai salah satu tonggak penting dalam agenda biodiversiti jangka panjang dan pelancongan lestari Sarawak.
SFC dalam kenyataannya memaklumkan, daripada sasaran sejuta hektar Kawasan Perlindungan Penuh (TPA), sebanyak 234,335 hektar telah diwartakan khusus untuk pemuliharaan orang utan, iaitu hampir suku daripada jumlah keseluruhan.
Antara kawasan utama ialah Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary & Extension (182,983 ha), Taman Negara Batang Ai & Extension (26,159 ha), Taman Negara Sedilu (6,311 ha), Taman Negara Ulu Sebuyau (18,287 ha) dan Taman Negara Gunung Lesong (595 ha).
