DARO: Sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM831,000 diserah kepada 20 penerima di Pulau Bruit, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan itu ketika mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan pemimpin rumah panjang dan bermesyuarat dengan kepimpinan Majlis Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Pulau Bruit.
Penerima terbabit terdiri dari 14 Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rumah panjang, dua Jawatankuasa Masjid/Surau, dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) serta dua Tabika.
Sebanyak RM778,000 peruntukan terbabit kepada 10 JKKK dan rumah panjang bagi projek membaik pulih dan naik taraf kemudahan awam seperti jalan dalam kampung, jeti dan tandas awam.
Peruntukan selebihnya adalah untuk pelaksanaan beberapa aktiviti kemasyarakatan dan pembelian perkakas kemudahan rumah panjang.
Sementara itu, Abdullah mengingatkan Ketua Masyarakat dan kepimpinan JKKK untuk mengurus peruntukan dan tabung kewangan JKKK dengan berhemah serta melaksanakan projek mengikut spesifikasi seperti permohonan.
Katanya, kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bawah kepimpinan Premier Sarawak meningkatkan keselesaan masyarakat luar bandar melalui perlaksanaan banyak projek infrastruktur kemudahan asas bukanlah retorik politik “tong kosong”.
“Sebanyak RM6.8 bilion atau 62 peratus peratus daripada RM10.9 bilion Perbelanjaan Pembangunan Sarawak untuk 2025 adalah difokuskan ke arah luar bandar,” tambahnya.
