LBAS 2025 bakal pertemukan anak Sarawak di perantauan

KUALA LUMPUR: Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 dijadual berlangsung pada 25 Oktober depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), menjanjikan pengalaman meriah dan penuh makna untuk anak-anak Sarawak di perantauan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, sejak penganjurannya pada 2008, LBAS telah berkembang daripada sebuah pertemuan kecil anak Sarawak di Semenanjung Malaysia kepada salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan, kata beliau.

“LBAS bukan sekadar majlis pertemuan sosial, tetapi juga menjadi platform untuk anak Sarawak berinteraksi secara langsung dengan pimpinan utama Kerajaan Sarawak, memahami dasar dan inisiatif pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa LBAS 2025 bersama-sama Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Bangunan Parlimen, bagi membincangkan persiapan acara tersebut, hari ini.

Fadilah menambah, acara ini juga memberi peluang kepada mereka menyuarakan idea dan aspirasi secara terus kepada Premier Sarawak, selain membina jaringan profesional yang bermanfaat,” ujarnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

LBAS 2025 dijangka menjadi medan strategik bagi pelajar dan belia Sarawak di Semenanjung untuk mengenali peluang kerjaya melalui interaksi dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat korporat.

Selain aspek pembangunan kerjaya katanya, program ini turut menekankan kepentingan memelihara keunikan budaya, adat resam, dan perpaduan masyarakat Sarawak, sambil memperkukuh semangat kebersamaan di kalangan anak-anak negeri di perantauan.

“LBAS bukan sahaja menjadi ruang berkongsi ilmu dan pengalaman, malah menjadi jambatan mengeratkan hubungan sosial dan budaya antara generasi muda Sarawak.

Beliau yakin, acara tahunan ini mampu memperkukuh rasa bangga terhadap identiti Sarawak, seterusnya menyemai kesedaran mengenai peranan generasi muda dalam memacu pembangunan negeri ke arah wilayah maju menjelang 2030.

“Insya-Allah, LBAS 2025 akan terus memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan anak-anak Sarawak di perantauan, selaras dengan aspirasi kita untuk membangunkan Sarawak yang progresif dan bersatu dalam kepelbagaian,” katanya.

Persiapan akhir untuk LBAS 2025 kini sedang giat dijalankan oleh jawatankuasa penganjur bagi memastikan setiap aspek acara dapat berjalan lancar, selamat, dan memberikan pengalaman berharga kepada semua peserta.