Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad serah zakat pada TBS

KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM29,998 kepada Tabung Baitulmal Sarawak di Ibu pejabat Koperkasa, Jalan Simpang Tiga, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan media Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, bayaran zakat perniagaan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan koperasi itu telah membayarnya mulai tahun 2019.

Majlis simbolik penyerahan cek zakat itu disempurnakan oleh Pengerusi Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, Fathi Hambali kepada wakil rasmi dan Timbalan Pengurus Besar 2 Tabung Baitulmal Sarawak, Abang Faisal Abg Marzuki serta turut dihadiri oleh Setiausaha Koperkasa, Ahmad Malie dan Pengurus Besar Koperkasa,Wahid Che @ Zaidi Chee.

Menurut Fathi pembayaran zakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan syariah, malah mencerminkan usaha berterusan Koperkasa kepada masyarakat, khususnya kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.

“Diharap zakat ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak Baitulmal dalam membantu mereka yang memerlukan di negeri Sarawak,” katanya.