IDCA tawar khidmat kepakaran, sokong agenda ekonomi digital Sarawak

KUCHING: International Data Centre Authority (IDCA) yang berpusat di Washington menawarkan kepakaran untuk menyokong Sarawak dalam membangunkan ekosistem ekonomi digital yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Ketuanya, Md Shahriman M Sidek berkata, bagi memastikan ekonomi digital berkembang maju, ia memerlukan infrastruktur yang kukuh merangkumi menara telekomunikasi, pusat data serta sambungan antarabangsa melalui gentian optik dan kabel dasar laut.

Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan bahawa Sarawak bukan sahaja perlu memiliki hab digital atau pusat data, tetapi juga jaringan antarabangsa yang lengkap.

“Premier juga mempunyai kefahaman yang jelas mengenai kepentingan infrastruktur digital.

“Justeru, kami di IDCA sedia membantu menilai serta memperkukuh perancangan pembangunan ini agar benar-benar future proof, terutamanya dalam aspek pusat data.

“Sarawak sedang meninjau pembangunan hab pusat data, maka soal keperluan tenaga dan kelestarian turut menjadi sebahagian perbincangan kami,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Katanya, kunjungan hormat itu bertujuan memperkenalkan fungsi serta peranan IDCA yang berfokus kepada khidmat nasihat dasar ekonomi digital kepada kerajaan dan korporat.