KUCHING: Pembelajaran kecerdasan buatan (AI) perlu dimasukkan dalam silibus di sekolah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini memastikan AI tidak disalahgunakan dan diamalkan secara beretika dan bermoral dalam masyarakat.
“Mereka (pelajar sekolah) mesti tahu, mesti belajar dari awal. Saya tidak boleh melakukannya (sebagai Menteri Pendidikan di Sarawak), sebaliknya dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Mereka perlu memperkenalkan satu subjek baharu dan sebenarnya sudah banyak subjek sekarang seperti reka bentuk dan teknologi. Ia boleh diubahsuai menjadi kursus lain termasuk AI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program ‘AI Driven Talent: Shaping the Future of Sarawak Workforce Development’ di sini hari ini.
Tambahnya, beberapa universiti di Eropah sudah mula memperkenalkan kursus AI yang turut memberi tumpuan kepada usaha mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan.
Dalam pada itu, Roland Sagah memberitahu, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja bagi memastikan rakyat merebut peluang dalam industri baharu seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang mengaplikasikan AI.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Hipni dan Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis.
