STEM lahir modal insan berdaya saing

SIBURAN: Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) akan melahirkan modal insan berdaya saing. berilmu, serta mampu menerajui pembangunan teknologi dan ekonomi negeri.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil menegaskan kepentingan pendidikan tinggi, STEM serta TVET sebagai pasport masa depan generasi muda.

Dalam era yang dipacu teknologi, pendidikan bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak untuk anak muda Sarawak agar mampu bersaing di peringkat global, katanya merasmikan Jelajah Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2025 ke-13 di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan dihadiri lebih 350 pelajar, guru dan masyarakat setempat.

Beliau turut mengumumkan penyerahan Think & Tinker (T&T) Mini Lab bernilai RM15,000 kepada SK Taba Sait, bagi memperkukuh akses pelajar luar bandar terhadap teknologi dan inovasi.

Siri Jelajah PRO-DR 2025 akan diteruskan ke destinasi terakhir iaitu Dewan SMK Lundu pada 22 Ogos 2025, menutup perjalanan 31 hari yang membawa inspirasi pendidikan ke seluruh pelosok negeri.