DARO: Penganjuran Program Komuniti Cergas Luar Bandar @ Daro di Kampung Penasu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar melaksanakan aktiviti bermanfaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, meskipun impaknya tidak ditonjolkan secara langsung, program tersebut memberi kesan positif kepada masyarakat, sama ada dari kesihatan, semangat kebersamaan mahupun pembangunan sosial.
“Aktiviti sukan dan riadah bukan sahaja penting untuk meningkatkan tahap kesihatan, malah berperanan sebagai wadah terbaik menyatukan masyarakat serta memperkukuhkan perpaduan antara generasi,” katanya semasa berucap pada program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, hari ini.
Katanya, usaha sebegini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk bergiat aktif, malah dapat memupuk disiplin, daya saing serta budaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk menyokong penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.
Ini untuk memupuk semangat kesukarelawanan, memperkukuh jaringan sosial serta memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk di Daro.
