Semarakkan semangat kemerdekaan

MUKAH: Semangat patriotisme terus disemarakkan di Mukah menerusi Program Segulai Sejalai Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Program tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah Hajar Taib semalam.

Program anjuran Pusat Khidmat Mukah dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Penerangan, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah dan Dalat, Angkatan Pertahanan Awam serta Pejabat Daerah Mukah dan Dalat itu diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Dalam ucapannya, Hanifah menggesa masyarakat menghayati makna kemerdekaan sekali gus menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu serta berkhidmat penuh dedikasi demi kemajuan bangsa dan negara.

Antara pengisian utama ialah konvoi 25 penunggang motosikal yang menjelajah tiga lokasi iaitu Pasar Tamu Mukah, Pekan Sabtu Oya dan Oya Square, Dalat.

Hanifah kemudiannya menyampaikan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak kepada peniaga serta orang ramai sebagai simbol perpaduan dan semangat cintakan negara.