SIMANGGANG: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman berhasrat bergerak seiring dengan cawangan lain di seluruh negeri.
Pengerusi DUBS Cawangan Sri Aman, Abdillah Majid berkata ini menjadi medan membantu belia yang berminat menceburi dunia keusahawanan.
“Ahli DUBS perlu merebut peluang di Sri Aman serta kawasan lain, membina rangkaian sesama usahawan dan menjadi contoh kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Tahunan DUBS Cawangan Sri Aman di Tandang Sari Avenue di sini, hari ini.
Abdillah Majid diumumkan sebagai Pengerusi baharu bagi sesi 2025-2028, dalam mesyuarat terbabit dan turut dipilih menerajui kepimpinan baharu ialah Gerald Empaling sebagai Timbalan Pengerusi dan Awangku Hafizi Awang Azahari sebagai Naib Pengerusi.
Ahli Jawatankuasa dibarisi oleh Subhi Ahmad, Majzelan Ahmad, Jessica Maragi Frederick Sambang, Man Kassim dan Awangku Hafizul Awang Azahari, manakala jawatan Setiausaha disandang oleh Abdillah Ahmad.
Pengumuman ini menandakan kebangkitan semula DUBS Cawangan Sri Aman selepas lebih lima tahun tidak aktif, sekali gus membuka lembaran baharu bagi memperkasakan agenda ekonomi dan keusahawanan Bumiputera di kawasan itu.
