TBBC Sri Aman raih 12 pingat Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak

SIMANGGANG: Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Keempat menyaksikan Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman memenangi lima pingat emas di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, di sini malam tadi.

Pingat emas itu disumbangkan oleh Muhammad Irfan Mohamad Ishak yang dinobat sebagai petinju terbaik bagi kategori junior, Mohamad Zakwan Kamaruddin, Mohammad Rozmey Abdullah Roslan, Tristan Aeden Minggu dan petinju wanita, Eurenia Jackie Joachim.

TBBC Sri Aman juga berjaya meraih empat pingat perak disumbangkan Lazelrius Chung Huang Sheng, Mohd Zulkarnain Iswandy, Darryl Sendys dan Mohammad Nur Faiz Mohammad Taib serta empat pingat gangsa disumbangkan oleh Awang Muhd Afsyar Awang Zakaria, Nelson Nankai Sibat, Fikry Dainal Abdullah dan Feinstein Fabrian Dominic.

Pengerusi TBBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari berkata mereka bangga dengan pencapaian terbabit walaupun ada yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa.

“Ini tetap membuktikan bahawa TBBC Sri Aman memiliki barisan pelapis yang mampu mengharumkan nama Sri Aman di peringkat lebih tinggi,” katanya.