KUCHING: Semangat inovasi anak muda Sarawak terserlah apabila 10 syarikat pemula mempersembahkan idea perniagaan mereka sempena Hari Demo Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2025, hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, program itu memberi pendedahan intensif kepada peserta dalam memperkukuh model perniagaan serta meningkatkan keyakinan mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Setiap anda telah melalui proses pembelajaran mencabar dan membuktikan kesungguhan untuk bergerak lebih jauh dalam dunia keusahawanan.
“Hari ini adalah langkah permulaan ke arah kejayaan yang lebih besar,” katanya semasa merasmikan Perkampungan Digital TEGAS, di sini, hari ini.
Beliau menambah, daripada 18 syarikat pemula yang menyertai, hanya 10 mara ke peringkat akhir, sekali gus membuktikan daya inovasi belia Sarawak semakin menyerlah.
Platform seperti Hab Inovasi Digital TEGAS di Kuching, Bintulu dan Miri juga terus berfungsi sebagai tapak pelancaran bagi bakat baharu melalui akses kepada bimbingan, program pemecut serta jaringan pelabur.
Dalam pada itu, Len memaklumkan projek Fasa 2 Perkampungan Digital TEGAS bakal dilaksanakan tidak lama lagi dengan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa tiga tahun.
