KUCHING: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Kerajaan Sarawak mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik (vape) di negeri ini.
Menurut beliau, langkah itu wajar kerana kesan negatif vape jauh lebih besar berbanding sumbangannya kepada ekonomi
“Cecair dalam vape ini boleh menghancurkan belia dan sudah pasti akan meruntuhkan nilai generasi kita,” katanya kepada media selepas membuat pelepasan larian sempena Karnival Kesihatan Pandu Puteri 2025, di perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.
Mengulas mengenai usahawan muda yang terlibat dalam perniagaan vape, beliau menasihatkan supaya mereka mengalihkan fokus kepada sektor lain yang lebih bermanfaat.
“Carilah bidang perniagaan lain yang lebih sesuai dan memberi nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ripin menegaskan keperluan pendekatan menyeluruh melalui program kesedaran dan pendidikan bagi menghindarkan belia daripada penggunaan vape.
