Perjelaskan maklumat bantuan, inisiatif Kerajaan Sarawak – Fazzrudin

BINTULU: Bantuan, dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak perlu diberi penerangan dengan jelas kepada masyarakat terutama di rumah panjang, kampung dan kawasan perumahan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini kerana walaupun pelbagai dasar serta bantuan digerakkan kerajaan negeri, usaha itu tidak akan mencapai objektif sepenuhnya jika
rakyat tidak diberikan penerangan secukupnya.

“Kita mahu rakyat bukan sahaja mendengar pencapaian kerajaan melalui media, tetapi juga mendapat penjelasan secara langsung mengenai cara mereka boleh mengakses peluang dan inisiatif yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penutupan Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang disempurnakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata, dasar dan inisiatif pembangunan juga perlu disampaikan terus ke akar umbi agar setiap lapisan masyarakat dapat memahami serta menikmati manfaatnya.

Menurut beliau, pendekatan turun padang bersama agensi-agensi berkaitan membolehkan masyarakat lebih memahami dasar kerajaan, sekali gus mengetahui peluang serta bantuan yang boleh dimanfaatkan dalam aspek kebajikan, pendidikan, pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.

Tambahnya lagi, penyertaan aktif masyarakat untuk mendengar, memahami dan berkongsi maklumat yang disampaikan amat penting bagi memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat program pembangunan yang sedang digerakkan di seluruh Sarawak.